Monday, 18 August 2008

Golongan Kata Dalam Bahasa Melayu

Perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu boleh digolongkan kepada empat golongan , iaitu

1) Kata Nama
2) Kata Kerja
3) Kata Adjektif
4) Kata Tugas

Kata Nama merujuk kepada perkataan-perkataan yang menerangkan nama orang, benda dan tempat. Terdapat tiga jenis Kata Nama, iaitu Kata Nama Am, Kata Nama Khas dan Kata Ganti Nama.
Kata Kerja pula merujuk kepada perkataan yang menerangkan tentang perbuatan. Kata Kerja terbahagi kepada dua, iaitu Kata Kerja Transitif dan Kata Kerja Tak Transitif. Kata Kerja Transitif disambut oleh objek dan terbahagi kepada Kata Kerja Transitif aktif dan Kata Kerja Transitif pasif. Kata Kerja Tak Transitif pula tidak perlu disambut dengan objek. Meskipun begitu, Kata Kerja Tak Transitif boleh menerima pelengkap dan dikenali sebagai Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap. Ada juga jenis Kata Kerja Tak Transitif yang tidak memerlukan pelengkap dan dikenali sebagai Kata Kerja Tak Transitif Tak Berpelengkap.
Kata Adjektif merupakan perkataan yang menerangkan tentang sifat/keadaan sesuatu( orang, benda, tempat). Terdapat sembilan pecahan bagi Kata Adjektif, iaitu Kata Adjektif yang menerangkan tentang:
1) sifat/keadaan
2) ukuran
3) warna
4) jarak
5) panca indera
6) bentuk
7) waktu
8) cara
9)perasaan
Kata Tugas merujuk kepada perkataan-perkataan yang mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu dalam pembentukan ayat, iaitu sama ada sebagai penghubung, penerang, penguat, pendepan, pembantu,penegas, penafi, pembenar, penguat, pembenar, pemeri ataupun tugas-tugas lain. Oleh yang demikian, kata tugas dikelompokkan kepada empat bahagian, iaitu:
1) Kata Penyambung Ayat
- kata hubung gabungan
- kata hubung pancangan (relatif,komplemen,keterangan)
2) Kata Praklausa
- kata seru
- kata tanya
- kata perintah
- kata pembenar
- kata pangkal ayat
3) Kata Prafrasa
- kata bantu
- kata penguat
- kata penegas
- kata nafi
- kata pemeri
- kata sendi nama
- kata arah
- kata bilangan
4) Kata Pascakata
- kata penekan
- kata pembenda

Monday, 2 June 2008

Bentuk Kata Dalam Bahasa Melayu

Bentuk Kata Dalam Bahasa Melayu


Perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu terbentuk kepada empat jenis, iaitu:

1) Kata Tunggal
2) Kata Terbitan
3) Kata Majmuk
4) Kata Ganda

Kata Tunggal :- perkataan yang wujud secara sendiri dan tidak menerima pengimbuhan, penggabungan mahupun pengulangan.

Contoh: kerusi, malas, kapal, terbang

Kata Terbitan :- perkataan yang mengalami perubahan makna apabila ditambahkan dengan morfem terikat yang dikenali sebagai imbuhan.

Contoh: Imbuhan pe- + kerusi = pengerusi , Imbuhan pe-...-an + terbang = penerbangan

Kata Majmuk :- perkataan yang digabungkan dengan perkataan dan membawa makna yang baru.

Contoh: kapal + terbang = kapal terbang , kerusi + malas = kerusi malas

Kata Ganda:- perkataan yang terbentuk daripada proses pengulangan.

Contoh: pokok-pokok, anai-anai, rama-rama, jemput-jemput

TATABAHASA BAHASA MELAYU

Salam sejahtera para pengunjung,

Blog TATABAHASA BAHASA MELAYU ini disediakan khusus bagi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Woodlands Ring dengan tujuan untuk memperluaskan pengetahuan para pelajar tentang tatabahasa Bahasa Melayu. Saya berharap blog ini berguna bagi para pelajar.